DALIL TENTANG BABI DALAM AL-HADIS.
Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Ketika pembukaan Kota Mekah, beliau mendengar Rasulullah s.a.w yang ketika itu berada di Mekah bersabda: Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan untuk menyalakan lampu? Baginda menjawab: Tidak boleh. Ianya tetap haram. Lalu baginda meneruskan kata-kata: Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya
Allah s.w.t ketika mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka beralasan lalu menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut ( HR Muslim )
HUKUM DAGING BABI
Babi adalah satu-satunya haiwan dari spesies mamalia artiodactyla yang satu keluarga dengan haiwan domestik lainnya ( haiwan ternakan ) seperti unta, lembu, kambing dan kerbau yang dnyatakan dengan jelas oleh Allah SWT tentang hukum memakan dagingnya. Kesemua dalil daripada al-Quran seperti yang telah disebutkan di atas menerangkan bahawa lahm al-Khinzir atau daging babi itu diharamkan untuk kita umat Islam.
Berdasarkan nas ini, jumhur ulama menghukumkan semua yang ada pada babi itu, atau daripada keturunannya adalah haram dimakan termasuklah tulangnya, lemaknya, jeroannya dan lain-lain. Demikian pendapat keempat-empat imam mazhab yang masyhur, Hanafi, Maliki, Syafi'I dan Hanbali. Demikian juga menurut mazhab Ja’fariah ( Syiah ) dan Ibadhiah.
Namun, di sana ada pandangan yang syaz (ganjil) daripada sesetengah golongan al-Zahiriah yang berpendapat bahawa yang diharamkan hanya daging babi, bukan lemaknya kerana Allah secara khusus dalam ayat-ayat terzsebut menyatakan lahm al-Khinzir. Walaupun begitu, salah seorang pemuka mazhab al-Zahiri iaitu al-Imam Abu Muhammad bin Said bin Hazm al-Andalusi menganggap babi itu najis samada seluruh atau sebahagian. Dengan erti kata lain beliau juga bersetuju dengan jumhur bahawa apa sahaja daripada babi adalah haram.
Al-Imam Qurtubi dalam tafsirnya ketika mentafsirkan ayat ini, mengatakan, "Tiada perselisihan pendapat bahawa tubuh babi dan segala sudut daripadanya adalah haram." Demikian susunya dan apa sahaja Keturunan daripadanya. Samada disembelih atau tidak. Demikianlah pendapat jumhur ulama.
No comments:
Post a Comment